Wednesday 1 September 2021

Buah Rambai

  Assalamualaikum dan salam Sejahtera

Buah Rambai

Pengenalan

Rambai atau nama saintifiknya Baccaurea motleyana Muell.Arg. merupakan buah-buahan indo-Malaysia yang terkenal di kampung- kampung atau dusun- dusun tua. Pokok rambai amat mudah dikenali kerana strukturnya yang mempunyai buah-buah yang bergantungan pada dahan atau ranting pokok. Rambai tergolong dalam kategori buah bermusim dan berbuah amat lebat dan serentak. Buahnya yang mempunyai rasa masam dan manis boleh terus dimakan atau dijadikan produk makanan yang lain seperti jus, halwa , jeli atau makanan ringan. Kulit rambai juga digunakan dalam masakan  tradisional Melayu contohnya seperti masak lemak, kari dan asam pedas. Tanaman rambai ini sewajarnya diperluaskan memandangkan terlalu banyak kegunaannya serta pengeluaran buah yang lebat tanpa sebarang masalah.


Ciri Morfologi

Tinggi pokok rambai boleh mencapai sehingga 20 m mempunyai batang yang lurus tetapi bercabang rendah dan banyak dahan. Daunnya yang tebal berwarna hijau muda, berbentuk obovat - lanseolat dan mempunyai panjang berukuran 20 - 35 cm dan lebar 8 - 17 cm . Jambak bunga rambai yang kehijauan adalah dari jenis rasem iaitu panjang seperti tali dan berjuntai dari ranting dan dahan pokok. Buah rambai pula berbentuk globos-oblong atau seperti buah beri dan berwarna kuning pucat keputihan. Buah rambai mempunyai 2 - 3 ulas isi yang lut sinar dan berjus serta berkulit nipis dan berdebu. 



Cara Pembiakan

Cara pembiakan buah rambai adalah melalui semaian biji benih. Kebiasaannya di kampung-kampung rambai ditanam berkonsepkan dusun. Pokok rambai mengambil masa selama 10 - 15 tahun untuk membesar dan menghasilkan buah. Tanaman ini berbuah sebanyak dua kali setahun iaitu pada Jun hingga Ogos, musim pertama  dan Disember, musim kedua. 


Semoga Bermanfaat

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Jejak Anda Di Sini...Senang Saya Nak Pi Melawat Pula...